Thursday, October 27, 2011

HARI BICARA AKADEMIK

Hari Bicara Akademik SMK Taman Keramat telah diadakan pada 24 Mac 2011 bersamaan hari Khamis. Bagi para pelajar sesi pagi, sesi perjumpaan bermula pada pukul 7.30 pagi dan berakhir pada pukul 2.00 petang diikuti dengan sesi perjumpaan bagi pelajar sesi petang yang berakhir pada pukul 6.00 petang. Objektif program ini diadakan ialah untuk:

1. Memberi peluang kepada ibu bapa untuk berbincang dengan guru mengenai

prestasi dan pelajar ketika berada di sekolah.

2. Mencari jalan untuk meningkatkan prestasi pelajaran para pelajar.

3. Mengeratkan hubungan silaturahim antara ibu bapa dan pihak sekolah.

Perjumpaan pada tahun ini mendapat sambutan daripada pihak ibu bapa. Sikap ini menunjukkan keprihatinan para ibu bapa dan pihak sekolah pada pencapaian dan tingkah laku para pelajar. Semoga aktiviti sebegini akan dapat meningkatkan prestasi dan kecemerlangan SMK Taman Keramat.

Disediakan oleh,

Amar Reza bin Zainalabidin, 5 Dinamik

Program Elit SPM dan Elit PMR

Pada tanggal 4 julai 2011 bersamaan hari Isnin, Program Elit SPM dan Elit PMR telah dianjurkan oleh En.Jefry B.Satiman dan unit kaunseling.Program ini telah dilaksanakan sebagai satu kaedah pemantapan pelajar khususnya pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan SPM dan PMR pada tahun ini. Program ini bermula pada bulan Julai sehingga bulan Oktober dan seramai 40 orang pelajar telah terpilih bagi menyertai program ini. Pelajar yang menyertai program ini dipantau prestasi pembelajarannya.

Objektif program ini adalah bagi meningkatkan pencapaian dalam peperiksaan SPM dan PMR serta menanamkan sifat daya saing pelajar agar dapat meningkatkan prestasi pelajar.

Diharapkan program ini diteruskan dan dapat membawa kebaikan kepada para pelajar dan seterusnya dapat meningkatkan lagi kecemerlangan SMK Taman Keramat pada masa yang akan datang.

KEM 1MURID 1SUKAN

Pada 27 Julai-29 Julai 2011 yang lalu,SMK Taman Keramat telah menghantar seramai 8 orang pelajar untuk menyertai Kem 1Murid 1Sukan yang bertempat di Sekolah Menengah Vokasional Sungai Buloh.Pelbagai kemahiran telah diajar kepada para peserta seperti kemahiran bermain badminton, bola jaring, dan kemahiran bermain bola sepak. Setiap aktiviti yang dijalankan akan dilaksanakan bersama ahli kumpulan yang terdiri daripada pelbagai sekolah. Lawatan ke FRIM juga turut dibuat pada hari kedua kem tersebut.Sebelum bersurai, acara penyampaian hadiah telah dilangsungkan. Tahniah kepada para pelajar yang telah mewakili sekolah.

Disediakan oleh:

Noor Farrah Nadia bt. Md Radzi (4 Bestari)

KEJOHANAN LARIAN SEKOLAH

Tanggal 6 Mac 2011 telah dipilih sebagai hari larian SMART 2011. Acara Larian SMART pada tahun ini lebih istimewa berbanding dengan tahun-tahun yang lepas, kerana penyertaan peserta adalah terbuka kepada semua. Sebaik sahaja berada di kawasan sekolah, para pelajar diminta mendaftarkan diri dengan Ketua Rumah Sukan. Kemudiannya, para pelajar diminta berkumpul di tapak perhimpunan untuk mendengar taklimat mengenai keselamatan serta peraturan dan diikuti dengan acara senam robik. Pada pukul 9.45 pagi, para peserta mula dilepaskan mengikut kategori kelas masing-masing.

Secara keseluruhannya, rumah Laksamana menjadi juara Larian SMART 2011. Naib juara disandang oleh rumah

Temenggung dengan diikuti oleh rumah Panglima, Syahbandar, dan Bendahara. Tahniah dan syabas kepada semua peserta yang berjaya meraih kemenangan.

Dilaporkan oleh,

Zahratie bt. Mu’az (4 Cerdas).

PERKHEMAHAN PERDANA UNIT BERUNIFORM

Pada 23 Julai 2011, seramai 72 orang pelajar daripada sepuluh buah unit beruniform yang terdiri daripada pelajar SMK Taman Keramat telah menyertai Perkhemahan Unit Beruniform Perdana peringkat sekolah bertempat di Kem Harap Reda, Sungai Congkak, Selangor. Perkhemahan selama dua hari satu malam ini telah dianjurkan oleh PIBG SMK Taman Keramat.

Antara aktiviti yang dijalankan adalah aktiviti merentas hutan, motivasi pelajar, kursus bantuan kecemasan yang telah dikelolakan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan pertandingan memasak dalam buluh.Terdapat juga aktiviti lain yang terpaksa dibatalkan akibat daripada cuaca yang tidak mengizinkan. Majlis penutupan kem kemudiannya telah dirasmikan oleh Cikgu Mohd Zaikham b. Hussin. Semoga perkhemahan tersebut dapat menjadi pemangkin kepada kecemerlangan para pelajar SMART.

Disediakan oleh,

Nurul Nabilah binti Ibrahim, 4 Arif

KEM PEMBIMBING RAKAN SEBAYA SMART

Pada 28 Jun-30 Jun 2011, SMK Taman Keramat telah menghantar 4 orang ahli Pembimbing Rakan Sebaya untuk menghadiri satu Kursus Kepimpinan Pembimbing Rakan Sebaya di UPM Serdang. Ahli yang terlibat ialah Muhammad Faris bin Abdul Manan, Aqila Zulaiqha Zulkifli (4A), Nur Hawa Nabiha binti Mazlan (4A) dan Nur Aini binti Ismail (4B).

Objektif program ini diadakan adalah untuk melahirkan generasi PRS yang berkualiti dan berkepimpinan. Antara program yang dijalankan ialah Amazing Race, Mega Challenge dan lain-lain. Semoga program ini dapat menjadi pemangkin kepada kecemerlangan Pembimbing Rakan Sebaya SMK Taman Keramat.

Disediakan oleh,

Aqila Zulaiqha Zulkifli, 4 Arif

KEM PENGAWAS SMART

Pada tanggal 30 Mei -31 Mei 2011, SMK Taman Keramat telah menganjurkan Kem Pengawas SMART yang berlangsung di Sungai Congkak. Kem yang telah dijalankan selama dua hari satu malam ini telah dihadiri oleh 74 pengawas sekolah SMART. Terdapat pelbagai aktiviti yang telah dijalankan seperti Solo Walk dan Team Building. Para pengawas sekolah tampak bersemangat sepanjang berada di kem tersebut. Semoga kem ini akan dapat menjadi pemangkin kepada kecemerlangan pengawas sekolah SMART.

Disediakan oleh,

Aqila Zulaiqha Zulkifli, 4 Arif

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...